Peraturan bahasa yang kedua, iaitu peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat, yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat.
Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengar khalayak, faktor suasana (misalnya antara rasmi dengan tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).
Dalam pelaksanaannya, kedua-dua suasana berbahasa, iaitu rasmi dan tidak rasmi memerlukan kepatuhan kepada peraturan sosiolinguistik. Sebagai contoh, dalam urusan dan majlis rasmi di Malaysia, perlu dipatuhi penggunaan kata sapaan rasmi yang betul. Penggunaan gelar (seperti Tun, Tan Sri, Dato’, Dato’ Seri dan yang lain), panggilan hormat (seperti Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Amat Berbahagia, Yang Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Berhormat Mulia dan sebagainya) serta kata ganti nama diri (seperti tuan dan puan) amat penting diberi perhatian sebagai salah satu adab atau unsur kesantunan bahasa.
Dalam suasana tidak rasmi, masih diperlukan penggunaan gelar dan kata ganti nama diri yang menepati kedudukan seseorang dan juga hubungannya dengan orang yang berbicara. Sebagai contoh, orang yang bergelar tetap perlu disapa dengan gelar yang dimilikinya. Menjadi tanggungjawab pembicara menyapanya dengan gelar itu walaupun ia mungkin tidak mengharapkannya.
Demikian juga, kata sapaan yang mewakili sistem kekeluargaan perlu digunakan dengan betul sebagai tanda hormat. Seorang anak saudara yang seusia atau lebih tua daripada ayah saudara atau ibu saudaranya tetap perlu menyapa ayah saudara atau ibu saudaranya itu dengan panggilan pak cik atau mak cik atau dengan panggilan lain yang setara dengannya, misalnya pak ngah, pak su, mak andak dan sebagainya.
Sikap tidak peka atau kurang peka akan hal itu menyebabkan wujud kecenderungan sesetengah orang memanggil semua orang yang agak berumur dengan panggilanpak cik atau mak cik, hatta kepada profesor atau pensyarahnya, atau abang kepada semua pelanggan lelaki yang berurus niaga dengannya. Gadis pula sering menjadi mangsa dengan panggilan kak long walaupun ia mungkin bukan semestinya anak sulung. Dalam hal ini, perlu dibedakan panggilan yang berasaskan kekerabatan dan kemesraan daripada panggilan yang berasaskan hubungan neutral dan rasmi.
No comments:
Post a Comment