Monday, 1 September 2014

Kuliah 5 - Peraturan Bahasa sebagai Asas Kesantunan Bahasa

Kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Daripada satu sisi, kepatuhan kepada sistem bahasa merujuk kepada sistem bahasa yang terdapat dalam bahasa masyarakatnya sendiri. Daripada sisi yang lain, kepatuhan kepada peraturan atau sistem bahasa berkaitan juga dengan kepatuhan kepada sistem bahasa lain apabila kita berhubung dengan menggunakan bahasa asing tersebut, terutama kepada anggota masyarkat bahasa itu. 

Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa (2002), merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa, iaitu:

1. peraturan linguistik, 
2. peraturan sosiolinguistik, dan 
3. peraturan pragmatik. 


Peraturan Linguistik

Peraturan lingusitik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi. 

Sekurang-kurangnya ada dua faktor mengapa peraturan linguistik perlu diberi perhatian dalam urusan dan majlis rasmi. Yang pertama ialah untuk menjaga kesempurnaan perjalanan urusan atau majlis yang bergantung pada kejelasan mesej yang disampaikan. Yang kedua ialah untuk memastikan bahawa semua yang hadir atau terlibat dengan urusan atau majlis rasmi itu dapat saling memahami pada tahap yang sebaik-baiknya dan tidak mengalami jurang komunikasi disebabkan kelainan dialek atau ragam bahasa yang digunakan oleh sesuatu pihak. 

No comments:

Post a Comment